d' Unwithering Flower...
Saturday, April 05, 2003
Kiranya takdir itu tak mampu kuubah, apakah aku hanya
mampu tunduk dan duduk tanda kalah? Kalah pada sebuah
harapan yang kuletak setinggi gunung, rebah di tengah
jelapang kasih yang kubajak tanpa kenal lelah saban
ketika. Namun, akhirnya, aku tewas juga. Ah, apa
perlunya lagi aku merintih di sini, kenapa masih perlu
kurenungi jalan hidup yang sudah tersurat kini? Atau,
aku masih mahu menanam setitis harapan di tanah yang
sudah kutahu tahap gersangnya?
Bodohkah aku menurut kemahuan abah dulu? Membiarkan
abah menyusun setiap perjalanan hidup yang bakal
kulalui, membiarkan abah menjadikan masa depanku
umpama pertaruhan, di antara bahagia dan derita? Ah,
di saat begini, tidak adil untukku menyalahkan abah.
Aku sendiri rela, menghadiahkan sebuah nilai
pengorbanan hanya untuk membahagiakan Abang Bakhtiar,
Boboy dan Yaya yang kini sudah menjadi sebahagian dari
diriku.
Along? Ternyata aku tidak mengerti tentang kehilangan
dan kehadiran Along yang tiba-tiba. Kehadiran yang
pastinya juga bakal meragut hampir keseluruhan masa
depan yang sudah kupertaruhkan. Kalau dulu Along
umpama helang yang bebas di angkasa, membelah awan nan
luas sambil megah menebarkan sayapnya, tapi kini Along
hadir di depan kami seperti merpati yang patah sayap,
menanti masa untuk segera dirawati serta dimasukkan ke
dalam sangkar indah di rumah.
"Abang dari hospital. Along kemalangan."
Hampir terlepas pinggan yang kupegang. Ternyata nama
Along sudah terlalu asing di pendengaranku sejak aku
bersuamikan Abang Bakhtiar. Tapi, kenapa hari ini nama
itu kembali meniti di bibirnya?
"Along tetap sebahagian dari kita, Lia."
Aku tidak mengerti kenapa kata-kata itu yang keluar
dari mulut umi setelah beberapa detik wajahku menjadi
habuan tatapannya. Ya umi, Lia mengerti. Along tetap
saudara Lia dunia akhirat. Tapi, perlukah nanti Lia
berkorban lagi? Aku bermonolog sendiri. Berharap agar
umi mengerti walau suaraku hanya terhenti di anak
tekak, tak mampu untuk kuluahkan.
Kulontarkan jauh-jauh cemburu dan curiga yang
bermukim. Pantas saja aku mempercepatkan langkah.
Sampai di muka pintu, aku terhenti sejenak. Demi
tuhan, aku mahu menjadi insan yang kaya dengan
ketabahan di saat ini. Melihat Along yang terlantar,
melihat umi yang sudah teresak-esak dan akhirnya
melihat jemari Abang Bakhtiar yang bertaut erat dengan
jemari Along yang kaku, aku jadi nanar.
Abang Bakhtiar bangun lalu menarik tanganku. Aku
bersyukur, kehadiranku ternyata masih disedarinya.
Kuhampiri Along yang terbaring, hanya berbekalkan
wayar-wayar yang bersambungan, Along masih mampu
bernafas. Kucium dahi Along dan kubisikkan sesuatu ke
telinganya. Aku mahu Along tahu kehadiran kami di saat
ini. Dan kalau diikutkan hati wanitaku, aku juga mahu
Along tahu ikatanku dengan Abang Bahktiar sekarang.
Ah, aku terburu-buru barangkali. Namun, naluri ini
mendesak, gentar memikirkan kemungkinan-kemungkinan
yang bakal berlaku.
Malam itu aku tidak mampu terlelap. Seharian aku
menanti Abang Bakhtiar yang tidak pulang. Kata umi,
dia menemani Along di hospital. Tersirap darahku
mendengar, namun umi cepat-cepat memahami kata hatiku.
Demi tuhan, aku tidak pernah minta menjadi perampas
Abang Bakhtir dari hidup Along. Tidak pernah juga
terlintas di fikiranku ingin menghuni rumah besar ini
sebagai seorang ibu kepada Boboy dan Yaya. Namun,
takdir tuhan akhirnya menempatkan aku dalam sebahagian
dari hidup mereka, juga menjadikan mereka separuh
daripada nyawaku sekarang.
Along yang bersalah. Itu adalah satu kepastian yang
tak dapat disangkal oleh sesiapa. Di saat kasih Abang
Bakhtiar mencurah untuknya, di kala Boboy dan Yaya
terlalu dahagakan perhatian serta kasih sayang seorang
ibu, ternyata Along gagal mencorakkan yang terbaik
buat mereka. Along lebih suka memilih jalannya
sendiri, membiarkan diri tenggelam bersama air
syaitan, hanyut di bawah kerlipan lampu-lampu kelab
malam dan membiarkan Abang Bakhtiar serta anak-anak
terumbang ambing tanpa perhatian dan kasih sayang.
"Dia yang cabar saya, mak. Dia yang minta saya
lepaskan dia. Dia mahu bebas. Tak mahu hidup dengan
tanggungjawab," suara Abang Bakhtiar lemah waktu itu.
Dia tunduk merenung lantai. Wajah itu terlalu sugul
sewaktu dia membawa Yaya dan Boboy pulang ke kampung.
Umi dan abah terkejut besar. Penceraian bukan satu
perkara yang main-main. Mendengar Along dan Abang
Bakhtiar berpisah, mereka menjadi nanar seketika. Aku
lebih-lebih lagi. Pelik memikirkan ragam manusia,
terutamanya Alongku sendiri. Punya pelajaran tinggi,
namun ke mana diletaknya akal dan budi.
Setahu aku, Along dan Abang Bakhtiar bernikah atas
dasar cinta. Rumah tangga mereka jelas terukur dengan
bunga-bunga bahagia. Cuma sejak Along menjawat jawatan
yang lebih tinggi di syarikatnya, sikapnya juga mula
berubah. Keegoan Along semakin melangit dan akhirnya
dek keegoan itu jugalah mahligai Along dan Abang
Bakhtiar punah ranah dihempas tiang penceraian.
Natijahnya aku menjadi sandaran abah dan umi agar
menggantikan tempat Along yang sudah lupa diri. Aku
juga dipertanggungjawabkan untuk membahagiakan Boboy
dan Yaya, juga Abang Bakhtiar sekali gus. Demi tuhan,
tanpa secubit cinta pun pada lelaki itu, aku pasrahkan
diri mengheret kaki menapak ke alam rumah tangga
dengan harapan besar agar cinta kami tumbuh seiring
dengan tanggung jawab besar yang sedang kupikul.
Ah, di saat jiwa aku sudah terisi sepenuhnya dengan
sayang dan cinta seorang suami, lalu bebayang Along
kembali mencari? Kenapa Along perlu hadir di ketika
aku dan Abang Bakhtiar, serta anak-anak sudah membuang
jauh derita dan kekecewaaan lampau? Kenapa juga masih
ada nama Along yang kukira bakal meragut sebahagian
atau mungkin juga segalanya yang aku miliki kini?
Inginku hamburkan gelisah ini di dada Abang Bakhtiar,
namun kelibatnya masih samar-samar di malam ini.
Barang kali, jejarinya sedang erat bertaut dengan
jemari Along yang terlantar kaku, barang kali juga dia
kini asyik menatap wajah pucat Along yang matanya
terpejam rapat, lalu memori antara mereka kembali
terselak, cinta yang terbenam mulai terkuak dan
akhirnya sayang akan terus bercambah. Lalu, ke mana
nak dicampaknya aku? Semudah itukah permainan alam,
hatiku merintih pedih. Dan entah jam berapa aku
terjaga, baru aku tersedar yang semalam aku terjelepok
tidur di sisi Boboy. Bergegas aku bangun dan terus ke
kamar. Hancur luluh hati ini di saat cadar yang
terbentang bersih langsung tidak terusik.
"Along dah sedar semalam, kata doktor keadaannya
stabil. Bakhtiar akan bawa Along pulang hari ni,"
lancar saja suara umi mencecah ke telingaku seolah umi
tidak ambil peduli langsung hati wanitaku yang kian
menghiris. Tiba-tiba saja, jemariku digenggam umi
erat. Mataku dan pandangan umi berlaga. Kutahan saja
air mata yang ingin gugur, namun akhirnya ia luruh
juga. Tubuh umi kurangkul erat, ternyata aku semakin
berperang dengan resah yang kian menjerat.
"Jangan fikir bukan-bukan Lia. Kita harus bantu Along.
Dalam keadaan sekarang, Along hanya mengharapkan
kita," suara umi tenggelam timbul di pendengaranku.
Hinggalah di saat Along sampai ditemani Abang
Bakhtiar, aku masih membisu sepi. Aku hanya menurut
setelah tanganku ditarik Abang Bahktiar ke kamar.
"Emosinya tak boleh terusik, Lia. Abang harap Lia
faham mengapa abang rahsiakan perkahwinan kita
daripada pengetahuan Along," lembut suaranya menerjah
ke cuping telingaku. Dia masih seperti selalu, penuh
kasih sayang memaut bahuku lembut, seolah-olah dia
cukup mengerti perang kecil di jiwaku ketika ini.
"Lia harap, kali ini Lia tidak akan diminta untuk
berkorban lagi bang," pandangan kami bersatu dan tidak
semena-mena, dahiku dimamah kucupan hangatnya.
"Abang sayangkan, Lia," kata-kata itu kusambut penuh
sayu. Jika sebentar tadi aku kuat mengawal air jernih
yang ingin gugur, tapi kini segalanya luruh di bahu
seorang suami. Malam itu, buat pertama kalinya selepas
bergelar isteri, aku tidur berasingan daripada suami.
Along semakin pulih. Sesekali ada juga dia bersuara
berbual-bual denganku walau terkadang fikirannya
sedikit terganggu. Barang kali, disebabkan hentakan
yang kuat di kepala telah menyebabkan proses
pemulihannya agak lembab dan rumit sedikit. Namun
Along kukira beruntung mendapat umi dan abah yang
cukup banyak memberi semangat dan sokongan padanya.
Hampir dua bulan, umi dan abah cukup setia menemani
Along di rumahku, dan di dalam tempoh itu juga, aku
tetap menjalankan kewajipanku seperti biasa. Makan
pakai setiap penghuni di rumah itu masih tetap di
pundakku.
Along, selebihnya dia kulihat lebih banyak berbual
dengan umi atau abah. Lalu di mana aku dicampakkan?
Sihatkah aku? Sudah makankah aku? Soalan-soalan
seumpama itu sudah tidak terlontar dari mulut Abang
Bakhtiar. Aku umpama orang asing, bukan lagi seorang
isteri yang perlu ditanya susah senangnya, suka
dukanya. Yang menjadi penguat nadiku kini hanyalah
Boboy dan Yaya. Bosan menguruskan kerja rumah,
selalunya aku akan melayan anak-anak itu dengan kerja
sekolah mereka atau mungkin juga menemani Yaya
bercerita sebelum si kecil itu terlelap.
"Kenapa panggil Mak Usu Mama?" Pernah aku terdengar
Along bersuara. Barang kali janggal mendengar
anak-anaknya memanggilku dengan panggilan itu. Aku
tersenyap. Mataku memandang umi, mengharapkan
penjelasan daripada mulut umi.
"Budak-budak, sejak Lia mengambil alih tugas menjaga
mereka, dah terbiasa dipanggil Mama," lancar saja
bicara umi.
Aku terkedu dan tertunduk. Tersayat hatiku dengan
kata-kata umi. Sekali lagi aku pilu apabila hakku ke
atas anak-anak itu diketepikan. Aku mungkin bukan ibu
yang melahirkan mereka, tetapi aku adalah mama yang
menidurkan mereka saban malam setelah Along tanpa
belas kasihan lari daripada tanggung jawab.
"Mari makan dengan mama, Boboy," lembut suara Along
menyapa anak sulungnya, mengajak makan bersama. Boboy
tidak berganjak, sudahnya dia hanya menarik tanganku
ke dapur. Demi tuhan, entah kenapa aku cukup bersyukur
dengan situasi itu. Terasa kemenangan berpihak
kepadaku di ketika ini. Berdosakah aku? Kejamkah aku
menzalimi kakak kandung sendiri?
"Dah lama kita tak tidur sama-sama dengan papa kan,
mama? Dulu, papa selalu main guling-guling dengan
kita, mama jerit-jerit bila papa cium mama. Tapi
sekarang, papa dah tak macam dulu. Papa marah mama?
Kenapa papa tak tidur dengan mama macam dulu," patah
kata-kata itu terlontar satu-satu dari mulut Boboy
yang sebu dengan nasi.
Hampir terlepas cawan yang kupegang. Dan di saat aku
ingin membalas kata-kata itu, batang tubuh Along
rupanya sudah tercegat sedari tadi di ambang dapur.
Wajahnya merona merah, tajam matanya menikam mataku
dan akhirnya tubuh yang sedia lemah itu terkulai rebah
ke lantai.
Umi menjerit, abah seperti ribut terus menerpa ke arah
Along yang tersadai sedangkan aku masih terkaku. Ah,
petaka apa kali ini. Sudahnya aku hanya tersedar
setelah melihat Abang Bakhtiar yang entah bila sampai
dari pejabat, gagah mengendong tubuh Along ke kereta.
Kupasti, Along akan segera dikejarkan untuk mendapat
rawatan segera. Dia pastinya terkejut, pasti cukup
tertekan dengan setiap patah perkataan yang terlontar
dari mulut Boboy. Aku terduduk. Kalut otakku berfikir,
membuat andaian demi andaian, menggambarkan segala
macam bentuk cerita yang bakal terlakar setelah segala
lakonan kami akhirnya sampai ke penghujung. Sesak
dadaku memikirkan penerimaan Along.
Malam itu, sekali lagi dadaku bergolak hebat. Abang
Bakhtiar tidak pulang-pulang. Kucongak waktu yang
berjalan, kalau tidak tersilap perhitungan, sudah
hampir 8 jam dia menemani Along yang kembali mendapat
rawatan. Kata doktor, Along terkejut dan gegaran di
otaknya kembali perlu dipulihkan.
"Berita itu benar-benar mengejutkannya. Umi takut
Along tak dapat menerima kenyataan," kata-kata umi
kutelan sahaja. Apa maksud umi menyatakan sebegitu
padaku? Menagih pengorbanan lagikah?Aku bersoal-jawab
sendiri. "Lalu, apa usaha kita, umi?" Sengaja aku
bertanya, cuba mengorek apa sebenarnya yang terlakar
dalam fikiran umi.
"Entahlah, Lia. Bahktiar pun nampak bingung. Seharian
dia menunggu Along, makan minum pun tak diendahkan,"
kata-kata umi menyengat naluri wanitaku. Begitu sekali
tingkah Abang Bakhtiar? Begitu sekali dia menghambakan
diri pada perempuan yang suatu ketika dulu
meremuk-redamkan jiwa lelakinya? Dan begitu sekalikah
sayangnya pada Along? Ah, lelaki itu pencinta yang
setia. Itu sudah kumaklumi sejak dari dulu lagi, namun
bahtera perkahwinan itu karam di tengah pelayaran.
Aku melawat Along keesokannya. Bergegar naluri seorang
isteri tatkala melihat suaminya terlentok di sisi
katil sambil jemarinya erat bertaut dengan jemari
Along yang masih tidak sedarkan diri. Aku melangkah
tabah. Biarlah untuk kali ini, di saat segenting ini,
biarlah aku mengalah lagi. Aku menyentuh perlahan bahu
Abang Bakhtiar dan dia terbangun. Matanya merah,
wajahnya cukup jelas memancarkan kekusutan di fikiran.
"Maafkan abang sebab tak pulang ke rumah semalam,"
terharu benar suara itu masuk ke jantungku.
Ah, dia sesungguhnya suami yang terlalu baik. Tidak
kering dan tidak pernah lokek dengan kata maaf sejak
dari dulu. "Bagaimana dengan Along?" Suaraku
kedengarannya sedikit tegas. Sebenarnya aku cuba untuk
menutup getaran hati yang sering benar berkocak.
"Stabil kata doktor. Mungkin boleh pulang esok," mata
Abang Bakhtiar seolah mencari mataku. Begitulah dia,
cukup prihatin dan peka dengan setiap tingkahku selama
ini.
"Maafkan abang kalau abang seolah mengabaikan Lia
sejak akhir-akhir ini."
Ah... luluh hatiku mendengar pengakuan itu. Jadi,
benarlah aku telah diabaikan selama ini, benarlah dia
seperti menolak diriku ke tepi. Pada hal selama ini
setiap yang kurasa itu sedaya mungkin kuanggap sebagai
permainan perasaan sendiri. Dan rupanya ia adalah
hakikat yang diakui oleh suamiku sendiri.
"Bawalah Along pulang, bang. Apa pun yang bakal
berlaku, biarlah kita hadapinya bersama," kata-kataku
serak. Namun kupasti, aku sudah seikhlas mungkin
bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang
akan berlaku.
Mendengar saja azan Subuh berkumandang, Abang Bakhtiar
berpaling. Dia menghampiriku. Lama wajahku direnung
sebelum dia mengajakku solat Subuh berjemaah
dengannya. Aku akur. Itu bukan sesuatu yang luar
biasa. Malah, sudah menjadi rutin dia sering menjadi
kepala jemaah setiap kali kami bersolat di rumah. Aku
cukup senang, cukup tenang menghambakan diri pada yang
Esa di keheningan Subuh itu. Selesai salam diberi,
seperti biasa aku menadah tangan menanti doa yang
bakal dibacakan suamiku. Panjang doa Abang Bakhtiar
kali ini dan dia kelihatannya cukup
bersungguh-sungguh. Lebat air mataku kembali mengalir,
deras juga debaran yang bergendang di dada. Setelah
doa diaminkan, pantas seperti selalunya, tangan suami
yang kusanjung itu kukucup kemas, dan kali ini lama
kucupanku hinggap di tangannya.
"Abang ceraikan Lia dengan talak satu."
Sayup-sayup suara itu mencecah ke telinga. Denyutan
nadiku seolah terhenti.
<< Home