d' Unwithering Flower...

Friday, May 07, 2004

Graduan IT paling ramai menganggur

KUALA LUMPUR 7 Mei - Graduan yang paling ramai menganggur ialah mereka yang berkelulusan teknologi maklumat (IT).
Timbalan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohammed Mustaffa Ishak berkata, adalah tidak benar dakwaan mengatakan pengangguran tertinggi di kalangan graduan kerana mereka lemah menguasai bahasa Inggeris dan tidak mahir menggunakan komputer.

``Saya menolak alasan bahawa tidak mengetahui bidang IT sebagai punca mengapa graduan kita gagal mendapatkan pekerjaan.

``Graduan alaf baru ini kebanyakannya boleh mengendalikan komputer dan teknologi maklumat dengan baik.

``IT merupakan keperluan setiap mahasiswa ketika menjalani proses pembelajaran dan pengajaran di kampus,'' katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan semalam yang mendakwa dua faktor tersebut punca utama graduan menganggur. Shamsuddin juga berkata, satu lagi kelemahan ketara di kalangan lulusan universiti tempatan kerana gagal menonjolkan penampilan diri yang menyakinkan.

Tegasnya, jika ketiga-tiga faktor tersebut masih tidak diatasi, graduan akan menghadapi kesulitan untuk mendapatkan pekerjaan.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Salleh Mohd. Yasin berkata, pihaknya telah lama membuat persediaan sempurna bagi menghasilkan graduan yang menepati kehendak pasaran buruh. Jelasnya, UKM mempunyai Pusat Pembangunan Mahasiswa yang diterajui oleh seorang dekan bagi menyedia, memantau dan menyelaraskan pendidikan mahasiswa agar menepati kehendak pasaran semasa.

``Setakat ini, pihak kami menerima maklum balas yang baik daripada graduan-graduan yang baru menamatkan pelajaran.

``Tahun lalu, hampir 63.1 peratus graduan UKM mendapatkan pekerjaan yang setaraf,'' katanya.

Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Datuk Dr. Adham Baba pula berkata, graduan tempatan yang menganggur boleh mencari jalan alternatif dengan mencuba nasib di negara-negara luar untuk mengumpul pengalaman.

``Jika bahasa Inggeris dan IT bukan alasan utama, mereka boleh ke luar negara untuk mendapatkan pekerjaan dalam tempoh terdekat ini,'' jelasnya yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi.

mmmm....is this for real?

posted by lisanwar at 6:06 PM

<< Home